My Add

Sunday 11 March 2012

Kecualikan mangsa banjir daripada bayar bil air

KUALA LUMPUR, AHAD, 11 Mac, 2012 Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini berkata, beliau akan mengusulkan kepada pihak kerajaan supaya mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang dikecualikan daripada membayar bil air yang digunakan untuk tujuan pembersihan.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa secepat mungkin memandangkan mangsa kejadian dijangka menggunakan bekalan air yang banyak bagi membersihkan rumah mereka serta kawasan sekitar.

"Kita tidak mahu mangsa menanggung beban setelah mengalami kerugian yang banyak akibat kejadian ini. Sebagai usaha meringankan beban mereka, kita akan berbincang dengan kerajaan agar Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) tidak mengenakan bayaran penggunaan air kepada mereka,” katanya kepada pemberita.

Sebelum itu, Ahmad Shabery meninjau kawasan terlibat selain menyampaikan bantuan makanan segera kepada mangsa banjir disertai sukarelawan MyCorps.

Mangsa banjir di kampung berkenaan rata-rata kecewa dengan masalah kekurangan bekalan air yang dihantar Syabas ke kawasan mereka dan meminta syarikat itu mengambil tindakan segera.

Ahmad Shabery yang bersetuju dengan pandangan penduduk terlibat, berkata,“Pihak Syabas perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mangsa kerana mereka amat memerlukan bekalan air mencukupi bukan sahaja untuk membersihkan rumah malah untuk kegunaan harian.” — BERNAMA

No comments:

Post a Comment