My Add

Tuesday 13 March 2012

Samun, curi kereta ditumpas, 7 termauk wanita ditahan

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Mac, 2012: Polis menumpaskan kegiatan samun dan curi kereta yang didalangi tujuh individu termasuk seorang wanita, serta merampas sebuah kereta BMW dan tiga Proton Waja dalam beberapa serbuan, di sini. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata tangkapan pertama dilakukan pada 29 Februari lalu ke atas seorang lelaki yang sedang memandu kereta BMW di kawasan Setapak.

"Lelaki itu diekori polis selepas mendapati kereta yang dinaiki itu adalah kereta yang dilaporkan disamun. Dia kemudiannya ditahan bersama-sama kereta itu, beberapa keping kad Touch N Go serta sebilah pisau," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Mohan berkata, empat hari selepas itu, seorang lagi lelaki yang dipercayai dari kumpulan yang sama ditahan di Taman Miharja Cheras, sebelum polis merampas sebuah Proton Waja yang dilaporkan hilang serta beberapa batang kunci dan peralatan mengumpil kereta. 

"Susulan tangkapan itu, pada hari yang sama, seorang lelaki dan seorang wanita pula ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sentosa Klang sebelum polis merampas sebuah lagi Proton Waja yang dilaporkan hilang serta tiga bilah pisau," katanya. 

Mohan berkata, 7 Mac lalu, tiga lagi lelaki yang juga dari kumpulan yang sama ditahan polis di sebuah rumah di Kepong serta merampas sebuah Proton Waja yang dilaporkan hilang. 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat buah kereta yang dirampas itu dilaporkan hilang di Cheras, Hutan Melintang di Perak, Kajang dan Sepang. 

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan memilih kereta mewah sebelum menyamun kereta berkenaan dengan menggunakan parang di kawasan sunyi. Enam daripada kesemua suspek itu mempunyai rekod lampau dan terbabit dalam sekurang-kurangnya tujuh kes samun dan curi kereta di Cheras, Selangor dan Perak," katanya. 

Mohan berkata, kesemua suspek yang berumur 30 hingga 55 tahun itu ditahan reman sehingga 16 Mac depan untuk disoal siasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dengan bersenjata dan 379A kerana mencuri kenderaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment