My Add

Monday 5 March 2012

Keldai dadah masuk perangkap polis

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 05 Mac, 2012: Seorang keldai dadah terjerat ketika mahu menghantar bekalan dadah kepada anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan di hadapan sebuah restoran di Jalan Sultan Omar di sini Khamis lalu. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsuddin, berkata keldai dadah berusia 21 tahun dan berasal dari Besut itu dipercayai baru sahaja menjalankan aktiviti tersebut.

"Suspek ketika itu berada berseorangan di tepi jalan berhampiran restoran terbabit untuk menyerahkan bekalan berkenaan. Dia kemudiannya terkejut dengan kehadiran anggota polis yang menyamar sebagai orang awam.

"Hasil siasatan lanjut ke atas kenderaan Perodua Viva milik suspek, polis menemui 690 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000. 

"Siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh baru sebulan menjalankan urusan ini dan bergiat aktif di sekitar daerah Besut," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Bagaimanapun saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dan bebas dari unsur dadah. 

Zamri berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment