My Add

Wednesday 21 March 2012

Keluaran potensi ekonomi Malaysia dijangka kembali 5.0%

1KUALA LUMPUR: Keluaran potensi ekonomi Malaysia atau kapasiti pengeluaran yang boleh dicapai oleh ekonomi negara ini tanpa menyebabkan inflasi, dijangka kembali kepada trend kadar pertumbuhan sekitar 5.0 peratus dalam tempoh jangka sederhana, demikian menurut Laporan Tahunan Bank Negara 2011. 

Menurut bank pusat itu, matlamat mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi dalam keluaran potensi memerlukan sokongan peningkatan produktiviti yang berterusan, pengembangan pelaburan swasta untuk mengekalkan pengumpulan stok modal dan pewujudan peluang pekerjaan yang berterusan, terutamanya untuk pekerjaan berkemahiran tinggi.
Paras keluaran potensi, bersama-sama dengan jurang keluaran, adalah salah satu faktor penting dalam pertimbangan dasar yang berkaitan dengan mandat teras Bank Negara mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Bank Negara berkata, meskipun terdapat kebimbangan terhadap kerapuhan ekonomi global, ekonomi Malaysia diunjur untuk terus berkembang hampir kepada potensinya pada masa akan datang. 

Pada 2011, katanya jurang keluaran ekonomi Malaysia dianggarkan mengecil kepada sifar peratus daripada -0.5 peratus pada 2010 meski pun pada ketika persekitaran ekonomi luaran yang mencabar. 

"Anggaran terbaharu itu menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia sedang beroperasi hampir kepada potensinya." 

"Sejajar dengan itu, keadaan pasaran pekerja adalah menggalakkan manakala inflasi kekal terurus," katanya.

Bank Negara menyatakan bahawa unjuran keluaran potensi dan jurang keluaran bagi tahun lepas menunjukkan bahawa inflasi yang lebih tinggi sebanyak 3.2 peratus (dengan kadar purata masa lalu pada kadar 2.9 peratus) sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan dalam harga makanan dan bahan api dunia. 

Bagaimanapun, menurutnya, walaupun keluaran potensi meningkat pada kadar yang lebih pantas, iaitu 4.6 peratus pada 2011 berbanding 4.0 peratus pada 2010, kadar itu masih berada di bawah paras purata antara tahun 2000-2010, iaitu 4.8 peratus. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment