My Add

Saturday 17 March 2012

Kemajuan negara hasil keberanian kerajaan: TPM

JASIN, SABTU, 17 Mac, 2012: Keberanian kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mengambil langkah bijaksana dalam melaksanakan pelbagai bentuk dasar untuk pembangunan sudah membawa negara ini ke tahap yang ada pada hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kejayaan negara yang kini hanya lapan tahun sahaja lagi untuk mencapai status negara maju menjelang 2020, adalah hasil kepimpinan kerajaan yang menyusun secara terancang dan melaksanakan pembangunan secara berkesan.

"Ia tidak mungkin terjadi begitu sahaja, seolah-olah yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek. Ia tidak menjadi begitu sahaja tanpa ada usaha, tanpa ada kesungguhan, tanpa ada kesediaan dan perancangan," katanya semasa berucap pada majlis Jamuan Rakyat peringkat Negeri Melaka di sini sempena lawatan kerja sehari ke negeri ini.

Muhyiddin berkata, jika kerajaan tidak berani mengambil tindakan tidak mungkin rakyat dapat menikmati kemajuan seperti hari ini.

Katanya, kerajaan berjaya melakukannya, tidak seperti beberapa negara lain di dunia yang sebelum mencapai kemerdekaan mempunyai kepimpinan kerajaan yang baik, namun gagal melaksanakan dasar pembangunan selepas merdeka.

"Kerajaan negara itu tidak mampu melaksanakan tanggungjawab, negara itu semakin hari semakin mundur, bilangan rakyat miskin bertambah dan ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan," katanya.

Katanya, perkara ini ada hubungkait dengan kepimpinan di mana tanpa daya kepimpinan yang bersungguh-sungguh, berilmu dan bervisi sesebuah kerajaan tidak mampu untuk membawa kemajuan dalam negaranya.

Muhyiddin berkata, sesebuah kerajaan yang mempunyai kepimpinan yang berilmu dan bervisi mampu untuk melihat perancangan negara bukan hanya untuk hari ini tetapi untuk tempoh 50 atau 100 tahun akan datang.

"Sebab itu kita pada hari ini sudah berada pada tahap yang boleh dikatakan baik. Tapi bagi Malaysia berbanding dengan negara maju kita memerlukan masa sedikit.

"Malahan jika kita ambil kira dalam tempoh 55 tahun sejak mencapai kemerdekaan, kita sudah melihat satu perubahan yang besar," katanya.

Muhyiddin berkata, taraf hidup rakyat juga kini sudah bertambah baik dengan peningkatan pendapatan dan memiliki harta sendiri.

Katanya, jika dulu pendapatan rakyat hanya sekitar RM200 hingga RM300 sebulan, kini mereka sudah mampu memperoleh antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

"Dulu tiada rumah yang agak elok tapi kini sudah memiliki rumah yang begitu baik sekali. Dulu tiada kenderaan tapi kini sudah memiliki harta-harta begitu.

"Bermakna kita sudah sampai tahap begitu tetapi kita memerlukan satu kepimpinan yang berani untuk melangkah ke hadapan tidak hanya merangkak-rangkak macam dulu.

"Waktu zaman merdeka dulu kita merangkak-rangkak. Tapi hari ini kita terpaksa bersaing dan jika kita ingin menjadi negara maju kita perlu bersaing dengan negara maju juga. Jadi sebab itu kita memerlukan kepimpinan," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam usaha mencapai status negara maju, kerajaan melaksanakan pelbagai program terutama untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup.

Katanya, kerajaan amat memahami masalah peningkatan kos sara hidup dan sentiasa mencari jalan untuk mengatasinya termasuk mewujudkan Bantuan Rakyat 1Malaysia yang kini sudah dinikmati lebih 3.7 juta isi rumah seluruh Malaysia membabitkan peruntukan RM1.8 bilion.

"Selain itu, kerajaan juga sudah memberi bantuan persekolahan RM100 dan semua ini adalah hanya sebahagian (usaha) kerana kita juga sudah melaksanakan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Menu 1Malaysia dan langkah-langkah lain untuk menentukan kita dapat menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup," katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin yang hadir ke majlis itu diiringi isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, turut mengumumkan peruntukan lebih RM5.5 juta bagi menaik taraf bangunan sekolah dan pembinaan infrastruktur di daerah Jasin.

Peruntukan tersebut antaranya termasuk untuk membina bangunan baru Sekolah Rendah Agama Taman Maju, Jasin, membaikpulih Dewan Bola Keranjang Taman Maju, Jasin dan membina bangunan baru di Sekolah Jenis Kebangsan Tamil Ladang Jasin Lalang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment