My Add

Wednesday 14 March 2012

Kerja penyenggaraan loji rawatan air ikut jadual – Syabas

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Mac, 2012: Kerja-kerja penyenggaraan dan penukaran aset-aset utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) adalah mengikut jadual yang ditetapkan dan berada pada tahap 20 peratus.

Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, pihaknya turut membuat pemantauan paras air di 15 kolam utama yang membekalkan air ke lima wilayah yang mengalami gangguan bekalan air ekoran kerja-kerja penyenggaraan itu.

Gangguan bekalan air melibatkan 153 kawasan di Hulu Selangor, Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam serta Kuala Langat berlaku selama 36 jam bermula pada pukul 8 pagi ini sehingga 8 malam esok.

"Setakat pukul 11.30 pagi ini, Syabas mendapati bahawa paras kolam-kolam utama di kawasan-kawasan yang terjejas masih lagi pada paras stabil dan hanya susut 20 peratus.

"Ini menandakan kebanyakan kawasan masih lagi menerima bekalan air seperti biasa, manakala sesetengah kawasan lagi pula mula mengalami tekanan air rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, orang ramai yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual itu boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol, 1-800-88-5252. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment