My Add

Thursday 15 March 2012

Kes demam denggi berkurangan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Mac, 2012: Jumlah kes demam denggi bagi minggu ke-10 tahun ini menunjukkan penurunan dengan catatan 504 kes tanpa kematian berbanding 567 kes dengan dua kematian pada minggu kesembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata enam negeri bagaimanapun menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

"Enam negeri berkenaan adalah Pulau Pinang dengan peningkatan sebanyak 12 kes, Perak (sembilan), Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya (lapan), Sarawak (empat), Perlis dan Sabah masing-masing tiga kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah kes demam denggi bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini meningkat 17 peratus (739 kes) dengan 5,184 kes dan 16 kematian dilaporkan berbanding 4,445 kes dengan lapan kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 115 lokaliti daripada 20 daerah mengalami wabak pada minggu lalu berbanding 18 daerah pada minggu sebelumnya dan lima daripadanya adalah lokaliti kawasan panas iaitu WP Kuala Lumpur dan Putrajaya (satu), Hulu Langat (dua) dan Petaling (dua).

"Lokaliti ini membabitkan kawasan Program Perumahan Rakyat Pantai Ria (Klang Lama), Apartment Taman Setia Balakong dan Taman Seri Emas (Hulu Langat), Petaling Jaya Utara 5 Seksyen 4, Gugusan Semarak dan Petaling Jaya Selatan 8 Apartment Mentari Court 2 (Petaling)," katanya.

Bagi mengelakkan kes denggi terus meningkat, Dr Hasan menasihati penduduk agar sentiasa memeriksa kawasan dalam dan luar rumah untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk aedes. 

"Memandangkan negara kita sedang mengalami musim hujan yang tidak menentu, ini akan menyebabkan air bertakung di dalam bekas yang boleh menakung air dan menjadi tempat nyamuk aedes bertelur," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment