My Add

Thursday 15 March 2012

Kes saman mertua: Rayuan pakar vaksin ditolak

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, KHAMIS, 15 Mac, 2012: Seorang pakar vaksin hari ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan saman terhadap bekas mertua kerana didakwa gagal memaklumkan keadaan mental bekas isterinya sebelum mereka berkahwin.

S.M. Jeyadas menyaman bekas ibu dan bapa mertua serta empat pihak lain atas dakwaan gagal memaklumkan keadaan kesihatan Dr. Kamala Vathani yang dikatakan menerima rawatan akibat gangguan mental (skizofrenia paranoid).

Kedua-duanya berusia 36 tahun ketika berkahwin pada 21 Ogos 1999.

Mereka tidak tinggal sebumbung bermula 20 Ogos 2000 sebelum Jeyadas mengemukakan saman pada 24 Mei 2001 ketika masih lagi suami isteri. Mereka bercerai dua tahun kemudian.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datin Paduka Zaleha Zahari yang bersidang bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali.

Panel berkenaan memerintahkan Jeyadas membayar kos RM10,000 kepada bekas mertua serta kos RM10,000 lagi kepada empat pihak lain yang juga merupakan doktor perubatan.

Mahkamah dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Februari 2010 yang menolak dengan kos tuntutan samannya terhadap keenam-enam responden.

Peguam Baldraj Singh mewakili Jeyadas manakala T. Vijayandaran dan Arthur Yeong mewakili responden-responden. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment