My Add

Wednesday 21 March 2012

Kesan krisis hutang kerajaan Eropah masih boleh diurus

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Mac, 2012: Kesan krisis hutang kerajaan di Eropah yang menimbulkan risiko utama kepada pertumbuhan dalam negeri yang lebih perlahan masih boleh diruskan setakat ini, kata Bank Negara Malaysia (BNM). 

Dalam Laporan Tahunan 2011, BNM berkata walaupun Malaysia terus menghadapi risiko daripada krisis hutang Euro yang bertambah buruk, ekonomi negara mempunyai penampan yang mencukupi untuk menghadapi kejutan yang berpunca dari persekitaran luaran.

BNM berkata keupayaan dan daya tahan Malaysia untuk menghadapi krisis hutang Euro dan kejutan luaran lain yang mungkin berlaku kepada rakan perdagangan utama negara terus meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kekuatan Malaysia boleh dikelaskan secara umum kepada empat bidang, iaitu asas makro-ekonomi yang kukuh, struktur ekonomi yang lebih berdaya tahan, sistem kewangan yang lebih teguh dan maju, serta keberkesanan dan fleksibiliti dasar yang baik, kata BNM. 

Bagaimanapun, berdasarkan potensi saiz dan tahap kejutan dari Eropah, pembuat dasar akan lebih berwaspada dalam memantau dan menilai keadaan semasa, katanya. 

Selain itu, BNM berkata kerjasama lebih erat diperlukan di kalangan pihak berkuasa serantau untuk meningkatkan sistem pengawasan dan pemantauan ke atas kejutan yang mungkin berlaku, terutamanya, daripada aliran modal yang tidak menentu ke rantau ini. 

Di segi sektor benar, BNM berkata Malaysia terdedah kepada krisis Euro, terutamanya melalui saluran perdagangan dengan kemungkinan kesan limpahan seterusnya kepada pelaburan swasta dan perbelanjaan penggunaan.

Pada 2011, katanya eksport langsung Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU) mencakupi 10.4 peratus daripada jumlah eksport negara berbanding dengan 13.7 peratus pada 2000. 

Sementara pendedahan tidak langsung kepada EU dianggarkan sekitar 3.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada 2011 berdasarkan analisis barangan pengantara dari Malaysia dieksport ke ekonomi Asia timur, dan kemudian diproses serta dieksport ke seluruh dunia. 

Secara purata, BNM berkata aliran pelaburan asing langsung (FDI) bersih dari EU mencakupi kira-kira 29 peratus daripada aliran FDI bersih ke Malaysia antara 2008 hingga 2011. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment