My Add

Monday 12 March 2012

Kesemua 8 Exco Perlis dilantik semula pegang jawatan

KANGAR, ISNIN, 12 Mac, 2012: Kesemua lapan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis yang penggal perkhidmatan mereka akan berakhir 18 Mac ini dilantik semula memegang jawatan masing-masing hari ini.

Mereka ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail, Sabry Ahmad (Santan), Ahmad Bakri Ali (Kayang), Abdul Jamil Saad (Sena), Datuk Mat Rawi Kassim (Beseri), Jafperi Othman (Guar Sanji), Mansor Jusoh (Chuping) dan Dr. Por Choo Chor (Indera Kayangan).

Mereka mengangkat sumpah memegang jawatan itu bagi tempoh setahun lagi di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau hari ini.

Bagaimanapun tiada pengumuman dibuat sama ada mereka akan kekal dengan portfolio masing-masing atau berlaku rombakan portfolio apabila tempoh kuatkuasa pelantikan semula itu bermula 19 Mac ini.

Sebelum ini Syed Razlan menerajui portfolio Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Hubungan Antarabangsa; Sabry (Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi); Ahmad Bakri (Pelancongan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar); Abdul Jamil (Belia, Sukan dan Kebudayaan); dan Mat Rawi (Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar, Penguatkuasaan dan Kepenggunaan).

Jafperi pula menerajui portfolio Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunnan As-Sunnah; Mansor Jusoh (Hal Ehwal Wanita, Kebajikan dan Hal Ehwal Pengguna) dan Choo Chor (Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat ke majlis angkat sumpah itu. Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment