My Add

Tuesday 13 March 2012

Konsep Wasatiyyah pendekatan bagi keamanan sejagat: PM

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Mac, 2012: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan memperjuangkan konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai pendekatan yang boleh membawa kepada keamanan sejagat dan bukan sahaja untuk membina negara bangsa yang harmoni dan bersatu padu. 

Perdana Menteri berkata pengenalan konsep itu di negara ini menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang layak untuk memperkenalkannya kepada masyarakat dunia.

"Apabila kita meluahkan konsep Wasatiyyah ini dan berhasrat menjadikannya sebahagian daripada Pergerakan Moderat Global, dunia melihat Malaysia mungkin antara satu, dua negara yang layak memperjuangkan konsep ini seantero dunia," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) yang ingin tahu bagaimana dunia melihat pelaksanaan konsep Wasatiyyah di Malaysia. 

Terdahulu semasa menjawab soalan asal Datuk Seri Hadi Awang (PAS-Marang), Najib berkata kerajaan memperkenalkan konsep Wasatiyyah selaras dengan wawasan kepimpinan negara yang mahu mewujudkan keseimbangan dalam membina perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama dan resam budaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment