My Add

Friday 16 March 2012

Lebih ramai askar Wataniah diperlukan di Sarawak

SIBU, JUMAAT, 16 Mac, 2012: Rejimen 510 Askar Wataniah yang berpangkalan di sini mempelawa lebih ramai penduduk khususnya di kawasan sempadan negeri itu dengan Indonesia supaya menyertai pasukan itu.

Panglima 9 Briged, Brig Jen Datuk Stephen Mundaw, berkata anggota wataniah memainkan peranan penting dalam pertahanan negara walaupun khidmat mereka adalah atas dasar sukarela.

"Mereka mampu membantu tentera biasa apabila berlaku krisis atau darurat," katanya kepada pemberita selepas upacara tamat latihan 540 pelatih Program Latihan Khidmat Negara di kem Taman Junaco di sini hari ini.

Mundaw berkata, gerakan mendaftar anggota baru rejimen itu akan dijalankan di pekan Kapit pada hujung minggu pertama bulan depan.

Terdapat dua rejimen askar wataniah di Sarawak.

Rejimen 510 meliputi kawasan tengah dan utara Sarawak seperti Sibu, Sarikei, Kapit, Mukah, Miri dan Limbang manakala Rejimen 511 yang berpangkalan di Kuching berkhidmat untuk kawasan selatan seperti Kuching, Samarahan, Betong dan Sri Aman.

Mundaw berkata, beliau gembira dengan sambutan orang ramai termasuk kaum Cina yang menyertai Rejimen 510.

"Semua jawatan sudah diisi dan kita harap dapat mewujudkan lebih banyak lagi," katanya sambil menyeru bekas pelatih PLKN supaya menyertai pasukan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment