My Add

Monday 19 March 2012

Lee Chong Wei tetap sertai Piala Axiata - BAM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Mac, 2012: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak bercadang mengeluarkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei daripada senarai peserta Piala Axiata meskipun beliau mengalami kecederaan bahu.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata, pemeriksaan awal menunjukkan kecederaannya tidak serius dan Chong Wei dilihat mampu beraksi untuk pasukan negara dalam pusingan "round robin" bermula Jumaat sehingga Ahad ini di Stadium Badminton Cheras di sini.

"Difahamkan, ia bukan kecederaan yang serius, hanya sakit saja. Bagaimanapun, kita akan tunggu laporan penuh daripada pakar," katanya di sini hari ini.

Chong Wei mengalami kecederaan bahu yang mengakibatkan beliau terpaksa menarik diri pada perlawanan akhir bertemu pemain China, Lin Dan di Kejohanan All England baru-baru ini.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz berkata, kecederaan itu mengambil masa tiga hingga lima minggu untuk sembuh.

Chong Wei juga akan menjalani pemeriksaan lanjut iaitu imbasan ultrasound di ISN dalam masa terdekat ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment