My Add

Tuesday 20 March 2012

Lynas: Pandangan akademia input penting - Khaled

PUTRAJAYA, SELASA, 20 Mac, 2012: Pandangan para akademia merupakan input penting yang perlu untuk diambil kira dalam membincangkan isu-isu berkaitan kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau berkata, sekiranya Parlimen bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi meneliti isu yang berkaitan dengan kilang itu, pandangan kumpulan akademia ini perlu didengar oleh jawatankuasa berkenaan, kerana kumpulan inilah sebenarnya yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam bidang itu.

Pada zaman rata-rata rakyat kini berilmu pengetahuan, beliau percaya dalam setiap keputusan yang diambil, ia perlu bersandarkan kepada ilmu, dan di sinilah pentas yang akan menyerlahkan betapa relevan dan pentingnya peranan yang dimainkan pihak universiti dan para akademia dalam negara.

"Menerusi jawatankuasa ini nanti kita boleh secara berstruktur, mendengar pandangan orang ramai dan cari jawapan dari pihak yang berkemahiran dan pakar, supaya (mereka) dapat membantu menjelaskan kepada rakyat mengenai projek ini dan menjelaskan apa saja kebimbingan yang dibangkitkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pengajian Tinggi di sini. — BERNAMA


No comments:

Post a Comment