My Add

Tuesday 20 March 2012

Lynas: Parlimen lulus penubuhan jawatankuasa pilihan khas

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Mac, 2012: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP), yang bertujuan meneliti isu-isu yang menjadi perhatian pihak awam serta standard keselamatan projek itu.

Usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pagi tadi dipersetujui melalui pungutan suara, walaupun pembangkang berterusan membantah, dengan ada wakilnya yang keluar dewan sebaik usul itu dipersetujui.

Pembangkang sebelum itu mendesak kerajaan memberi jaminan supaya lesen beroperasi sementara (TOL) yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk operasi LAMP di Gebeng, Pahang, ditarik balik, dan semua aktiviti di kilang itu dihentikan dalam tempoh tiga bulan pelantikan jawatankuasa itu, sebagai syarat sokongan mereka.

Mohamed Nazri semasa menggulung perbahasan mengenai usul itu berkata, penubuhan PSC itu tidak terlambat, walaupun TOL telahpun dikeluarkan.

"Belum terlewat untuk lantik Jawatankuasa Pilihan Khas untuk bincang perkara ini. Kita tidak kata ”concern” (bimbang) mereka itu tidak penting, malah kerana rasa concern itu penting dan jawapan tepat berdasarkan pandangan pakar perlu diberikan, maka kita cadang wujudkan jawatankuasa ini,” katanya.

Beliau berkata, segala apa isu yang dibangkit oleh wakil pembangkang boleh dikemukakan kepada PSC itu. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment