My Add

Tuesday 6 March 2012

Lynas setuju hantar sisa kilang ke luar negara - Mustapa

KUANTAN, SELASA, 06 Mac, 2012: Syarikat perlombongan nadir bumi Lynas (M) Sdn Bhd bersetuju untuk menghantar ke luar negara bahan buangan dari kilang memproses bahan itu yang terletak di Gebeng dekat sini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Lynas telah menghantar surat jaminan kepada kerajaan sebagai mematuhi sebahagian syarat yang dikenakan kepada syarikat itu ketika mereka menerima lesen beroperasi sementara dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) baru-baru ini.

"Walaupun kerajaan berpuashati bahawa tidak akan ada residue (bahan buangan) radioaktif yang dihasilkan oleh Lynas semasa operasi mereka, sebagai langkah tambahan setelah disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kerajaan mengarahkan Lynas memberikan jaminan dan merancang untuk menyedia kemudahan pelupusan tetap (PDF), jauh dari penempatan awam.

"Sekiranya syarikat gagal mendapatkan lokasi kemudahan pelupusan tetap tersebut, residue yang dihasilkan akan dibawa keluar dari Malaysia,” katanya ketika membaca kenyataan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa Lynas akan memindahkan sisa buangan ke kawasan yang jauh dari penempatan penduduk.—BERNAMA

No comments:

Post a Comment