My Add

Wednesday 7 March 2012

Majikan perlu sokong dasar gaji minimum - Zainal

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Mac, 2012: Majikan di negara ini sepatutnya menyokong dasar gaji minimum yang akan dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi dan bukannya membantah atau memberikan komen negatif, kata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia, Datuk Zainal Rampak.

Beliau berkata, tindakan majikan yang mendakwa syarikat akan gulung tikar jika gaji minimum diperkenalkan adalah lebih bersikap menjaga kepentingan masing-masing tanpa memperdulikan nasib pekerja mereka.

"Kata-kata ini memang sering kita dengar tetapi majikan masih lagi kekal menjalankan perusahaan kerana suasana negara kita aman, situasi politik stabil dan paling penting tiada tunjuk perasaan oleh pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zainal berkata, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah memohon gaji minimum sebanyak RM1,200 sejak awal tahun 90-an lagi, namun dikurangkan kepada RM900 atas desakan majikan yang menyatakan kadar yang diminta oleh MTUC adalah terlalu tinggi.

"Kami menyangka dengan pengurangan tersebut ia akan dapat diterima oleh majikan tetapi tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut Zainal, kadar gaji minimum yang sepatutnya adalah RM1,500 dan bukannya RM900 memandangkan kos sara hidup di negara ini yang semakin meningkat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment