My Add

Wednesday 7 March 2012

Malaysia-Ireland pertingkat kerjasama pelbagai bidang

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Mac, 2012: Malaysia dan Ireland berhasrat mempertingkat dan memperkukuhkan hubungan dua hala serta kerjasama kedua-dua negara, selain mahu sektor swasta memperluaskan jalinan usaha sama mereka dalam peluang perniagaan dan kepakaran.

Kedutaan Malaysia di Dublin dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dipersetujui ketika lawatan tiga hari Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ke Ireland yang berakhir hari ini.

Ketika lawatannya, Anifah membuat kunjungan ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar dan Perdagangan Ireland, Eamon Gilmore.

"Kedua-dua menteri membincangkan isu dua hala serta isu serantau dan antarabangsa. Mengenai isu Palestin, Gilmore menyatakan Ireland berkongsi pendapat dengan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pada pertemuan tersebut Anifah turut mencadangkan agar sektor swasta kedua-dua negara bekerjasama meneroka peluang perniagaan dan berkongsi kepakaran di dunia ketiga, yang dipersetujui Gilmore.

Anifah juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan Kemahiran Ireland, Ruairi Quinn, di mana mereka membincangkan isu dua hala serta kebajikan pelajar Malaysia di negara tersebut.

Bagi tempoh Januari hingga November tahun lepas, Ireland merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-10 terbesar pada kalangan negara Eropah dan rakan eksport ke-14 terbesar dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM2.04 bilion. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment