My Add

Tuesday 6 March 2012

Masalah Pas di Kedah jauh daripada selesai: Muhyiddin

KULAIJAYA, SELASA, 06 Mac, 2012: Tindakan Pas menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memantau Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuktikan krisis kepimpinan di negeri itu jauh daripada selesai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

"Tugas Datuk Seri Azizan kini lebih mencabar dan pemimpin Pas tak yakin dengan kemampuan beliau mentadbir dengan baik," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas menghadiri majlis jalinan mesra rakyat dan perasmian bangunan Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di sini.

Ditanya sama ada tindakan Pas mewujudkan jawatankuasa itu sesuatu yang pelik, Muhyiddin berkata, ia tidak menghairankan kerana Pas sememangnya sebuah parti yang "pelik".

"Pas memang parti pelik, apa yang dia nak buat, dia buat," katanya sambil menambah bahawa bidang kuasa jawatankuasa itu tidak jelas umpamanya sama ada ia mempunyai hak menyekat kuasa Menteri Besar. 

Muhyiddin berkata beliau berpendapat penyelesaian itu tidak berkesan dan ia akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan kesannya akan dirasai oleh penduduk Kedah. 

Mengenai kadar tol bagi lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) di sini, Muhyiddin berkata, kerajaan negeri Johor dan Jabatan Kerja Raya telahpun memberikan pandangan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

"Nanti kita akan buat keputusan di dalam jangka masa terdekat," katanya. 
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian sedang menjalankan kajian untuk memperkasakan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). 

"Kita sedang kaji supaya PPD menjadi pusat paling utama untuk pantau sekolah, prestasi dan masalah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment