My Add

Monday 19 March 2012

Model terbaru Ducati Streetfighter bakal kuasai jalan Malaysia

KETUA Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi (Asia Pasifik) Ducati, Mirko Bodiga (baju putih) bergambar bersama enam pembeli pertama model Streefighter 848 pada majlis pelancaran motosikal tersebut di Plaza TTDI, di sini hari ini. - UTUSAN/ASWAD YAHYA


Oleh NURULANUAR MANSOR 

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Mac, 2012: Jalan-jalan raya di Malaysia kini bakal dikuasai oleh model terbaru keluarga motosikal berkuasa tinggi Ducati Streetfighter, Streetfigther 848.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (Asia Pasifik) Ducati, Mirko Bodiga, model terbaru edaran Next Bike Sdn. Bhd. yang jualannya dilancarkan di Malaysia hari ini akan dijual pada harga RM99,333.

Menurut beliau, kenderaan yang dipacu oleh enjin Testastretta 11 itu juga mempunyai ciri baru pada casisnya bagi memberikan model berkenaan kelincahan dan kekuatan untuk memaksimumkan keselesaan serta kepuasan penunggang.

“Ciri-ciri baru yang diperkenalkan itu juga menjadikan Streetfighter 848 ini amat sesuai untuk jalan-jalan raya di Malaysia terutama di kawasan bandar.

“Selain itu, penambahbaikan yang diperkenalkan itu juga menjadikan Streetfighter antara yang terbaik dalam kelas naked bikes,” kata beliau ketika majlis pelancaran yang diadakan di Bilik Pameran Ducati, Plaza TTDI di sini, hari ini.

Dalam acara berkenaan, pihak Next Bike turut mengadakan majlis penyerahan Streetfighter 848 kepada enam pembeli pertama motosikal itu di Malaysia.

Menurut salah seorang pembeli, Kamarul Hafizad Kamarudin, dia yang tertarik dengan model Streetfighter 848 ini ketika berada di Hong Kong tahun lepas membelinya kerana ia mempunyai personaliti yang tersendiri.

“Personaliti Streetfighter ini bukan sahaja sesuai dengan diri manakala keupayaannya untuk kegiatan santai dan kerja amat menarik minat saya untuk membelinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment