My Add

Thursday 22 March 2012

Najib pilih calon ikut kehendak rakyat

PETALING JAYA, KHAMIS, 22 Mc, 2012: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau perlu mengikut kehendak rakyat dalam memilih calon bagi pilihan raya. 

"Sebagai seorang pemimpin, adalah wajar saya mendengar apa yang rakyat mahu. Maka, saya akan membuat keputusan sama ada tempoh bagi seseorang itu sudah sampai dan dia tidak lagi harus bertanding," kata Perdana Menteri dalam satu temubual dengan DJ Sam Mak dan Tan Yi Hui dari stesen radio 988 FM dalam program satu jam "988 Street VIP" hari ini.

Sebagai contoh, kata Najib, jika orang ramai di sesuatu kawasan itu mendapati wakil rakyat mereka gagal menjalankan tugas dengan baik dan mereka tidak lagi mahu orang ini mewakili mereka, maka beliau perlu membuat keputusan.

Persoalan yang akan timbul akhirnya ialah sama ada beliau selaku Perdana Menteri dapat memenuhi kepentingan rakyat atau tidak, katanya. 

Najib berkata beliau akan dipersalahkan kerana menggugurkan mereka. 

"Kita tidak boleh salahkan pemimpin kerana pemimpin melakukan apa yang terbaik untuk rakyat. Itulah prinsip yang saya pegang," katanya. 

Ketika ditanya sama ada pilihan raya umum kali ini akan diadakan pada Mei atau Jun, Perdana Menteri berkata apa saja boleh berlaku tetapi memilih tarikh pilihan raya bergantung kepada banyak faktor. 

Katanya apa yang penting ialah untuk meyakinkan rakyat bahawa masanya adalah sesuai dan terdapat keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan. 

"Saya masih menilai keadaan semasa lawatan saya ke seluruh negara. Saya ingin lihat sejauh mana sokongan rakyat terhadap saya dan terhadap kemampuan kita menyelesaikan isu-isu semasa. 

"Mudah-mudahan terdapat faktor-faktor keyakinan yang baik malah yang kukuh, maka itulah masanya saya rasa kita akan adakan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment