My Add

Friday 9 March 2012

RM20 juta bina pasar baru di Kampung Melayu Majidee: Najib

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 09 Mac, 2012: Datuk Seri Najib Razak yang melakukan tinjauan mesra di Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini membawa berita gembira buat penduduk kampung itu apabila mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi pembinaan sebuah pasar baru.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke bandar raya ini
membuat pengumuman itu selepas kira-kira sejam melawat dan beramah mesra dengan peniaga di pasar itu dan kawasan perniagaan di perkampungan itu.

Sebelum melakukan tinjauan mesra itu, Najib yang tiba di Kampung Melayu
Majidee kira-kira jam 1.20 tengah hari, terlebih dahulu menunaikan solat
Jumaat di masjid kampung berkenaan dengan diiringi Menteri Besar Johor, Datuk
Abdul Ghani Othman, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul
Samad, ahli Exco kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.

Selepas selesai menunaikan solat, Perdana Menteri turut menikmati hidangan nasi ambang dengan duduk bersila bersama-sama rakyat dan kemudiannya
menyampaikan replika kunci van jenazah kepada Badan Kebajikan Melayu Islam
kampung berkenaan.

Perdana Menteri dan rombongannya mengakhiri tinjauan mesra itu dengan
singgah di Restoran Warisan Teratak Bonda dan menikmati hidangan murtabak.

Dalam ucapan ringkas di restoran berkenaan, Perdana Menteri berkata, beliau
berasa gembira dengan suasana ceria orang ramai yang menyambut kedatangannya dan yakin perkampungan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional.

Beliau berkata, penduduk di situ wajar menerima sebuah pasar baru memandangkan keadaan pasar itu yang ketika ini sudah uzur.

"Saya dibawa lalu ke pasar yang sudah uzur dan daif rupanya ada "udang di
sebalik batu" (secara berseloroh). Patut tidak payah lalu, tapi Datuk Shahrir
bawa untuk saya pertimbang peruntukan sebuah pasar baru.

"Sepanjang perjalanan tadi, Datuk Shahrir ada bisik-bisik, maka saya
luluskan pasar baru untuk kampung ini dengan peruntukan RM20 juta," katanya
sambil mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Shahrir dalam ucapannya berkata, sebuah pasar baru amat diperlukan
memandangkan pasar itu sudah berusia lebih 20 tahun dan tidak sesuai dengan
persekitaran semasa.

Sementara itu, peniaga ayam di pasar itu, Abdul Aziz Ashaari, 48, berkata
peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri memberikan seribu rahmat buat peniaga.

"Kita menunggu pembinaan pasar baru ini sejak 10 tahun lepas. Sebelum ini
ianya hanya sekadar 'cakap-cakap' tetapi hari ini sudah menjadi kenyataan
apabila diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri," katanya.

Osman Hamzah, 30, pula berkata, pembinaan pasar baru itu akan memberikan
keselesaan kepada peniaga dan pelanggan.

"Saya berharap pembinaan pasar baru akan membuatkan orang ramai terus
mengunjungi pasar ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment