My Add

Thursday 8 March 2012

NKRA: Tampung 600,000 penumpang pada waktu puncak

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mac, 2012: Kerajaan melalui inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mahu penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang mencapai tahap 25 peratus atau 600,000 penumpang pada waktu puncak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, inisiatif untuk Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Negara bermula sejak dua tahun lepas dan pada hari ini, sistem pengangkutan awam Lembah Klang dipermodenkan dengan penerimaan 38 set tren komuter canggih untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang digelar MyKomuter.

"Usaha berterusan Kementerian Pengangkutan terutama Unit NKRA dan KTMB dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam khususnya rel mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kepentingan pengangkutan awam negara,” katanya ketika berucap semasa perasmian set MyKomuter yang mula beroperasi dari KL Sentral hari ini.

Pada masa ini, penggunaan KTM Komuter pada waktu puncak mencapai 1.4 kali had kapasiti penumpang, di mana koc komuter itu sendiri hanya mampu membawa 150 penumpang, tetapi terpaksa mengangkut 200 penumpang pada satu-satu masa.

"Ini menyebabkan ketidakselesaan kepada penumpang dan turut membawa kepada beberapa masalah lain antaranya penyelenggaraan, kelewatan dalam jadual dan pembatalan perkhidmatan.

“Akibatnya, pengguna memilih kenderaan persendirian sebagai mod pengangkutan untuk melakukan tugas harian mereka terutama pada waktu puncak antara pukul 7 hingga 9 pagi,” katanya.

Untuk membolehkan rakyat hidup selesa, kerajaan telah melabur sebanyak RM1.9 bilion untuk memperoleh 38 set MyKomuter yang serba canggih dengan kemasukannya ke dalam perkhidmatan KTMB bermula secara berperingkat-peringkat, katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment