My Add

Wednesday 14 March 2012

Noh Omar saman Kerajaan Selangor, Adun Sekinchan

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Mac, 2012: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar telah memfailkan saman fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Sue Lim kerana didakwa memfitnah beliau.

Noh berkata, kerajaan negeri Selangor melalui akhbar rasminya, SelangorKini dalam keluaran 25 November sehingga 2 Disember 2011 telah menerbitkan dua artikel yang dikatakan memfitnah beliau berbunyi: "Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan" serta artikel yang turut menyiarkan kain rentang "Noh Omar khianat petani dan lesap RM110 juta untuk bantuan petani".

"Satu kita saman kerajaan negeri bersama enam yang lain termasuk sidang pengarang SelangorKini dan satu lagi kepada Adun Sekinchan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, saman sebanyak RM10 juta setiap satu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam,Selangor pada 9 Mac lalu melalui peguam beliau, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Noh menegaskan, penerbitan kata-kata fitnah itu boleh menjatuhkan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang, menteri dan juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk pendengaran pengurusan kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment