My Add

Thursday 15 March 2012

Perancangan strategik hala tuju sistem pendidikan dirangka

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Mac, 2012: Kementerian Pelajaran akan mengadakan siri dialog kebangsaan bermula April ini bagi mendapatkan input untuk penyediaan satu Pelan Pembangunan Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini, pelan itu kemudiannya akan digunakan untuk menggubal satu Perancangan Strategik mengenai hala tuju sistem pendidikan negara pada masa akan datang.

"Kita menjangkakan laporan awal akan dapat dihasilkan pada penghujung September dan laporan akhir dapat dikeluarkan pada Disember tahun ini, serta diikuti dengan penggubalan dan pembangunan Perancangan Strategik pendidikan yang baru," katanya menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang bertanya sama ada kementerian berhasrat mengkaji semula sistem pendidikan kini supaya ia seimbang dengan perkembangan pelajar daripada aspek ilmu, jasmani, rohani dan akhlak.

Muhyiddin berkata, usaha penilaian sistem pendidikan itu akan dilaksanakan Pejabat Pengurusan Projek (PMO) yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, dengan mengambil kira sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti.

Sembilan bidang itu ialah guru, pemimpin sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, penguasaan pelbagai bahasa, peluang pendidikan lepasan menengah, ibu bapa dan komuniti, kecekapan dan keberkesanan sumber serta sistem penyampaian pendidikan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment