My Add

Tuesday 6 March 2012

PAC Perak gesa masalah aktiviti korek pasir ditangani

IPOH, SELASA, 06 Mac, 2012: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak meminta semua agensi penguatkuasaan bekerjasama bagi menangani masalah yang timbul disebabkan aktiviti mengorek pasir sungai.

Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, ini kerana kegagalan memantau aktiviti itu menyebabkan negeri mengalami kerugian hasil serta memberi kesan kepada ekosistem semula jadi sungai-sungai di Perak.

"Taksiran kerosakan (akibat aktiviti mengorek pasir di sungai) pada tahun 2006 adalah sebanyak RM4.5 juta dan ia terus meningkat sehingga ke hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau memberikan contoh aktiviti pengambilan pasir di Kampung Sungai Kelawar yang terletak di sempadan Perak dan Selangor telah merosakkan kawasan sungai serta jalan raya.

Selain itu, aktiviti mengorek pasir itu juga dikhuatiri akan menimbulkan masalah serius kerana semua loji pembersihan air Lembaga Air Perak terletak berhampiran sungai.

"Kita juga mencadangkan supaya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri supaya melihat semula ketetapan dan peraturan sedia ada bagi memastikan aktiviti ini tidak memberikan kesan yang tidak baik kepada kualiti air,” katanya.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment