My Add

Sunday 4 March 2012

Pas masih gagal capai penyelesaian kemelut Kedah

ALOR SETAR, AHAD, 04 Mac, 2012: Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat selama kira-kira lima jam yang berakhir 3 pagi tadi bagi menyelesaikan kemelut pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bersama dua EXCO, dipercayai menemui jalan buntu. 

Difahamkan, masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat dan diumumkan.

Perkara itu diakui Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, yang berkata pihaknya belum dapat memastikan bila dapat mengadakan sidang media untuk memaklumkan apa keputusan yang dicapai dalam mesyuarat bermula jam 10 malam tadi.

"Saya belum pasti bila kita boleh buat sidang media kerana masih ada beberapa perkara yang perlu dinilai sebelum kita membuat keputusan. 

"Jika ada kita akan maklumkan kepada media," katanya ketika dihubungi di sini, pagi tadi. 

Jawatankuasa Pas Pusat itu diketuai Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mendengar penjelasan Azizan dan EXCO, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang mana setiap seorang diberikan masa kira-kira sejam untuk berhujah bagi menyatakan pendirian masing-masing. 

Pemimpin lain yang hadir, termasuk Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu dan Naib Presiden, Mahfuz Omar.

Pada kira-kira jam 12 tengah malam tadi, Salahuddin menemui petugas media yang menunggu di luar Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mantaloon sejak jam 8.30 malam untuk memberikan maklumat perkembangan mesyuarat itu. 

Salahuddin dilaporkan berkata, pihaknya mahu menyelesaikan kemelut itu dalam mesyuarat berkenaan kerana menganggap ia penting bagi memastikan Pas Kedah berada dalam keadaan selesa untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. 

Ini adalah mesyuarat kali kedua, selepas mesyuarat pertama di ibu negara selama empat jam pada malam Khamis lalu. 

Kemelut berkenaan tercetus apabila Phahrolrazi bersama seorang lagi EXCO, Datuk Dr Ismail Salleh enggan dilantik semula ke jawatan berkenaan. 

Semua lapan anggota EXCO lama mengangkat sumpah jawatan di Istana Anak Bukit, di sini pada Isnin lalu. 

No comments:

Post a Comment