My Add

Monday 12 March 2012

Pembangkang perlu contohi Shahrizat - Ahli Parlimen BN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Mac, 2012: Beberapa ahli Parlimen kerajaan hari ini menggesa pembangkang agar mencontohi langkah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur daripada jawatan Menteri, meskipun belum terbukti terlibat dengan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi melabelkan pengunduran Shahrizat itu sebagai bermaruah, tidak seperti pembangkang yang terus-menerus mempertahankan anggotanya walaupun terpalit dalam beberapa isu.

"Saya harap pembangkang juga ambil sikap yang sama. Seperti kes Elizabeth Wong (Exco kerajaan negeri Selangor yang terpalit isu penyebaran gambar bogelnya), saya berani sebut, dah terbukti...tetapi kenapa masih pertahankan?

"Tetapi kerajaan BN (Barisan Nasional) buktikan bahawa anggotanya lebih berani, telus, bermaruah dan bermoral. Saya harap rakyat lihat ini sebagai pembaharuan yang dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Shahrizat untuk berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Senator Dewan Negara tamat pada 8 April ini, tetapi menafikan ia mempunyai kaitan dengan skandal NFCorp.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan memberikan sokongan penuh terhadap pimpinan Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO serta Ketua Wanita BN dan tidak kisah apa yang dikatakan pembangkang mengenai keputusan pengunduran tersebut.

"Apa yang penting...pemimpin kita (Shahrizat sudah) buat keputusan ...sekarang saya nak tengok berapa ramai daripada pembangkang yang telah didedahkan dengan tuduhan macam-macam, sanggup lakukan seperti Shahrizat lakukan semalam,” kata Ahli Parlimen Sembrong itu.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment