My Add

Monday 12 March 2012

Pembiayaan, daya maju jadi faktor projek monorail Putrajaya

PUTRAJAYA, AHAD, 11 Mac, 2012: Pembiayaan dan daya maju merupakan faktor yang perlu diambil kira dalam menentukan sama ada projek monorail Putrajaya akan diteruskan kata, Anggota Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

"Sudah tentu, kami mahu adakan monorail, tapi (akan wujud) penambahan kos dan kami sedang mencari sumber pembiayaannya.

"Kedua, (kami perlu kaji) daya maju projek ini, sama ada terdapat penumpang yang secukupnya untuk mewajarkan monorail beroperasi di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Tengku Adnan, yang juga setiausaha agung UMNO, melancarkan karnival mini anjuran Puteri Umno di Presint 9, di sini.

Projek jambatan gantung monorail Putrajaya terhenti pada 2004 kerana kerajaan tidak meluluskan pembiayaan lanjutannya.

Bulan lepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru kerajaan meneruskan projek itu memandangkan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu mengalami kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak sebelah pagi dan petang.

Beliau berkata, “hanya beberapa bahagian” saja lagi daripada projek itu yang perlu disiapkan kerana asas rangka kerjanya, jambatan gantung dan terowong untuk laluan monorail sudah tersedia.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment