My Add

Monday 5 March 2012

Penduduk gesa MDS tutup tapak pelupusan sampah

SIK, ISNIN, 05 Mac, 2012: Majlis Daerah Sik (MDS) digesa menutup segera tapak pembuangan sampah di kampung Sungai Seputih kerana didakwa sudah tidak wajar diteruskan sebagai kawasan pelupusan sampah. 

Penduduk mendakwa bau busuk dari kawasan pembuangan sampah itu mengganggu penduduk di dua kampung sekitar kawasan berkenaan sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Carok Damar, Mustaffa Husain, 40, menggesa pihak majlis memindahkan kawasan itu segera.

"Ini kerana kawasan itu sudah penuh dengan sampah menyebabkan berlaku pembuangan sampah hingga ke tepi jalan utama kampung itu. 

"Malah tiada usaha dibuat bagi menyekat air kotor dari kawasan pembuangan sampah mengalir ke kawasan jalan hingga ke rumah penduduk di sini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini. 

Mustaffa mendakwa selain terpaksa menghidu bau yang busuk pada waktu siang dan malam, penduduk turut berdepan dengan masalah lalat. 

Tinjauan mendapati pihak berkuasa masih belum melakukan sesuatu untuk menyekat air kumbahan yang mengalir ke kawasan jalan. 
Maznah Mat Isa, 34, dari Kampung Sungai Seputih pula berkata, kehidupannya terganggu kerana terpaksa menghidu bau busuk dari kawasan pembuangan sampah itu. 

"Rumah saya hanya terletak tidak sampai 10 meter dari kawasan pembuangan sampah itu dan saya kecewa kerana tidak ada tindakan tegas diambil untuk menyelesaikan masalah ini," katanya. 

Sementara itu, pejabat MDS ketika dihubungi memberitahu pegawai yang terbabit tidak dapat memberi kenyataan kerana sedang bercuti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment