My Add

Tuesday 20 March 2012

Pengerusi NFCorp tak hadir, siasatan PAC tertangguh

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Mac, 2012: Sesi pendengaran siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kes National Feedlot Corporation (NFCorp) yang sepatutnya bermula hari ini tidak dapat dijalankan kerana tidak dihadiri pengerusi dan pengarah urusan syarikat itu.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata pihaknya mempunyai kesukaran untuk mendapatkan kerjasama penuh daripada NFCorp kerana isu melibatkan syarikat itu telah menjadi kes di mahkamah.

Sesi pendengaran itu pagi tadi dipercayai dihadiri Pengurus Besar Sumber Manusia NFCorp, Wan Zurina Saaran, yang diiringi dua peguam.

"Peguam mereka memberi maklumat bahawa mereka menasihati ketua eksekutif badan itu supaya tidak hadir...satu sebab adalah kerana jemputan itu tidak datang daripada PAC sendiri.

"Mereka (peguam) juga menasihatkan pengarah urusan atau pengerusi eksekutif badan itu supaya tidak hadir kerana takut apa-apa penjelasan yang diberikan itu akan menjejaskan mereka dalam perbicaraan nanti.

"Tak ada keputusan lagi dibuat setakat ini. Kita menghormati pendapat peguam dia dan keputusan semua pihak, sebab kes itu agak serius (dan) kalau yang disebut itu digunakan dalam mahkamah, ia boleh menjejaskan mereka,” katanya.

PAC sebelum ini mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar menjemput NFCorp hadir memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

Azmi berkata, PAC akan mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi mendapatkan semula arahan jelas mengenai tahap siasatan yang boleh dijalankan berhubung isu NFCorp. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment