My Add

Sunday 18 March 2012

Penguatkuasaan logo halal guna pendekatan mendidik

PADANG SERAI, AHAD, 18 Mac, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahu penguatkuasaan logo dan sijil halal yang bakal berkuasa 1 Julai nanti menggunakan pendekatan mendidik.

Beliau berkata, apabila ia dikuatkuasakan, pihak penguatkuasa yang mendapat latihan daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu bertindak secara bijak sebelum menghukum pihak yang terlibat.

"Kita akan terus mengambil pendekatan secara bertoleransi dan memberi sedikit kelonggaran kepada syarikat-syarikat yang telah dahulu menjelaskan bayaran yang ditetapkan.

"Mereka yang mematuhi prosesnya serta masih menggunakan logo lama akan dilakukan secara mesra dan baik, tiada kekerasan akan dijalankan pihak penguatkuasa,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jakim dan jabatan agama Islam negeri-negeri (JAIN) akan berdepan hukuman denda dan penjara mulai 1 Julai.

Beliau berkata, jabatan itu akan melakukan pemantauan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Katanya, operasi pendidikan untuk memastikan setiap premis perniagaan mempunyai sijil halal dan bukan hanya mempamerkan logo halal sahaja telah dimulakan sejak awal Januari yang berakhir 31 Mac ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment