My Add

Wednesday 21 March 2012

Peningkatan nilai ringgit hanya kurangkan sedikit kos import

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Mac, 2012: Peningkatan nilai ringgit hanya menyebabkan penurunan yang secara relatifnya kecil ke atas kos import, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM). 

Bagaimanapun, pengeluar pula tidak memindahkan penjimatan kos sepenuhnya kepada pengguna, kata BNM dalam Laporan Tahunan 2011.
Selain Indeks Harga Pengguna (IHP) domestik mencakupi banyak barangan yang tidak diniagakan pada peringkat antarabangsa tetapi ditentukan sepenuhnya oleh keadaan domestik.

Ciri-ciri IHP yang kurang peka terhadap pergerakan kadar pertukaran - seperti caj potong rambut dan cuci kereta, termasuk produk petroleum, yang tertakluk kepada mekanisme harga ditadbir kerajaan - maka kadar pertukaran boleh dikatakan memainkan peranan yang kecil dalam mengurangkan kesan inflasi yang diimport, katanya. 

Tanpa pengaruh lain, BNM berkata hipotesis yang dibuat ialah penambahan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kos import. 
Bagaimana pun, menurut BNM, terdapat faktor lain yang boleh mempengaruhi harga import. 

"Ini termasuk permintaan dan penawaran global, persaingan global, harga komoditi global dan kos pengeluaran negara pengeksport," katanya. 
Kekukuhan permintaan dalam negeri dan tahap persaingan pasaran juga boleh mempengaruhi keputusan syarikat untuk memindahkan penjimatan kos berikutan harga import yang lebih rendah. 

Hasil penyelidikan BNM telah menunjukkan bahawa peningkatan nilai ringgit sebanyak 10 peratus hanya akan menyebabkan penurunan antara 0.05 - 0.15 peratus dalam harga pengguna. 

Meskipun dapatan itu menyamai dapatan kajian lain dalam bidang yang sama, BNM bekata satu pengecualian penting ialah tempoh kajian adalah semasa persekitaran inflasi secara relatifnya stabil dan penambahan nilai ringgit teratur. 

BNM berkata magnitud perubahan kadar pertukaran adalah penting dari segi menentukan kesannya terhadap harga import dan harga pengguna. 

"Penambahan nilai mata wang yang terlalu ketara boleh menjejaskan daya saing, yang seterusnya mengurangkan pendapatan dan melemahkan permintaan dalam negeri." 

"Sebaliknya, penyusutan nilai yang amat ketara boleh menambah tekanan inflasi terhadap harga pengguna apabila harga import yang makin tinggi tidak dapat ditampung oleh pengimport yang seterusnya memindahkan kenaikan kos import kepada pengguna." 

"Dalam hal ini, kepentingan pelarasan dua hala yang teratur dalam mata wang perlu terus menjadi objektif dasar yang penting bagi BNM dalam ekonomi kecil yang kecil," kata BNM. 

Ringgit dan mata wang serantau lain bertambah antara 6.2 peratus dan 44.4 peratus relatif kepada dolar US di antara Mac 2009 dan Julai 2011, di tengah-tengah pemulihan ekonomi global dan peningkatan dalam pasaran kewangan global. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment