My Add

Sunday 4 March 2012

Penyeragaman hukum ibadah haji elak kekeliruan

LANGKAWI, AHAD, 04 Mac, 2012: Penyeragaman hukum-hukum berkaitan ibadat haji dan umrah penting bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan jemaah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, pelbagai sumber hukum mudah diperolehi di internet melalui laman sosial, namun kesahihannya belum boleh ditentukan dan interpretasi yang berbeza boleh memberi kesan kepada pelaksanaan ibadat haji.

"Perlu memiliki kesepakatan sebab (hukum) boleh dirujuk kepada pelbagai kitab, boleh tengok dalam pelbagai media baru seperti facebook dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan amanat pada majlis muzakarah Haji peringkat kebangsaan kali ke-28 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, muzakarah anjuran Tabung Haji ini boleh dijadikan platform untuk pembimbing jemaah haji melengkapkan diri dengan ilmu untuk meningkatkan keberkesanan ibadat haji.

Beliau berkata, pada program itu juga Tabung Haji berkesempatan berkongsi maklumat semasa berkaitan pengurusan ibadat haji dengan perwakilan dari negara serantau terutama di Asia Tenggara.

"Sebanyak tujuh kertas kerja yang akan membincangkan pelbagai isu-isu penting akan dibentangkan. Antara isu yang kerap dibangkitkan adalah berkaitan jemaah wanita," katanya.

Muzakarah pada tahun ini dihadiri 400 peserta tempatan dan 10 peserta antarabangsa termasuk dari Brunei, Filipina, Singapura dan Thailand.
Beliau berkata, Tabung Haji turut melancarkan e-Book Tabung Haji bagi memudahkan jemaah haji merujuk mengenai sebarang masalah berkaitan ibadah itu.

"Mereka boleh merujuk e-book ini pada bila-bila masa di mana-mana saja menggunakan I-pad atau telefon bimbit yang ada aplikasi yang diperlukan," katanya.

Katanya, Tabung Haji juga akan mengeluarkan buku rujukan khas untuk jemaah wanita memandangkan mereka mempunyai lebih banyak permasalahan yang perlu dijelaskan secara terperinci bagi memastikan ibadat mereka sah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment