My Add

Monday 19 March 2012

Perbicaraan kes bekas pengarah Imigresen ditetapkan 30 April

GEORGETOWN, ISNIN, 19 M: Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini menetapkan empat hari mulai 30 April ini untuk perbicaraan bekas pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun atas tuduhan memiliki harta melebihi pendapatannya.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan semula tarikh perbicaraan itu kerana tertuduh baru melantik peguam baru iaitu Datuk Hanif Hashim pada 27 Februari lalu bagi menggantikan Zamri Idrus.

Mahkamah menetapkan 30 dan 31 Mei, hujahan bagi kedua-dua pihak.Abdul Rahman, 53, kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara, Kementerian Dalam Negara (KDN) didakwa memiliki wang sebanyak RM681,355 dan hartanah bernilai RM136,000, iaitu terdapat lebihan harta sebanyak RM152,081 daripada yang sepatutnya dimiliki setelah diambil kira emolumen sepanjang berkhidmat dengan kerajaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang, pada 11 Oktober 2010.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 36(3) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah mengekalkan jaminan sebanyak RM15,000 kerana sepanjang proses siasatan yang dijalankan sejak Ogos 2009, tertuduh dan isterinya yang juga seorang guru, masih bekerja serta tidak wujud krisis kewangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Anthony Kevin Morais dan Janariah Abdul Mutalib. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment