My Add

Friday 23 March 2012

PERKESO bakal miliki pusat rehabilitasi komprehensif

MELAKA, JUMAAT, 23 Mac, 2012: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal mempunyai pusat rehabilitasi bertaraf antarabangsa bagi membantu golongan pekerja yang hilang upaya akibat kemalangan bencana kerja atau penyakit untuk kembali bekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pusat yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara bernilai RM238 juta itu akan menyediakan kemudahan rawatan pemulihan komprehensif kepada pencarum PERKESO merangkumi aspek pemulihan fizikal dan vokasional dan pengurusan kes yang lebih efektif.
Beliau berkata, kes akan dipantau dari peringkat awal rujukan ke pusat rehabilitasi sehingga pekerja berkenaan dapat kembali aktif ke alam pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.

"Sebagai contoh, jika seseorang itu mengalami putus urat tangan, mereka akan menjalani rehabilitasi fizikal di sini dan kemudian latihan vokasional bagi memberi kemahiran terhadap bidang pekerjaan tertentu yang sesuai dengan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah pusat itu yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di kawasan Bandar Hijau, Alor Gajah di sini, hari ini.

Beliau berkata, pusat rehabilitasi yang merupakan kesinambungan program "Return To Work" yang diperkenalkan PERKESO pada 15 Jan 2007 itu akan merangkumi bangunan pentadbiran, rehabilitasi perubatan, rehabilitasi vokasional, asrama dan dewan makan serta pusat latihan kesihatan.

Subramaniam berkata, projek pembangunan pusat di tanah seluas 22.26 hektar itu bermula September tahun lalu dan dijangka siap pada September 2013.
Pada masa ini, pencarum Perkeso yang mengalami hilang upaya menjalani rehabilitasi di hospital dan pusat fisioterapi di seluruh negara, katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Subramaniam berkata mengikut rekod PERKESO, kes kemalangan dan hilang upaya kekal di kalangan pekerja semakin meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, sebanyak 59,897 kes kemalangan dan 31,175 kes hilang upaya dilapor pada 2011 berbanding 57,637 kes kemalangan dan 29,914 kes hilang upaya kekal pada 2010.

Katanya, PERKESO sudah membelanjakan RM110 juta bagi rawatan pemulihan jasmani dan vokasional selain RM326 juta dibelanjakan untuk bayaran faedah hilang upaya kekal manakala RM119 juta untuk faedah hilang upaya sementara.

PERKESO mempunyai sejumlah 5.8 juta pencarum individu dan 360,000 majikan dengan kutipan kira-kira RM2 bilion setahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment