My Add

Sunday 18 March 2012

Pinjaman 6 pelajar terbabit demonstrasi ditarik

KUALA TERENGGANU, AHAD, 18 Mac, 2012: Kerajaan Terengganu telah menarik balik pemberian pinjaman kepada enam anak negeri yang belajar di Mesir selepas didapati terlibat dalam perhimpunan haram di ibu negara tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tindakan itu diambil selepas kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan penjelasan pelajar terbabit ketika menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kerajaan Terengganu.

"Kita biayai mereka untuk pergi belajar, bukannya untuk terlibat dengan demonstrasi atau perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan e-Book di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pelajar berkenaan didapati terlibat dalam perhimpunan haram Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas dan perhimpunan membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) awal tahun ini.

"Kerajaan negeri berharap tindakan ini akan menjadi pengajaran kepada yang lain agar tidak terbabit dengan kegiatan tidak sepatutnya," kata Ahmad.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua pelajar terbabit termasuk seorang penuntut tahun tiga jurusan perubatan boleh membuat rayuan kepada kerajaan negeri.

"...kita lihatlah nanti," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment