My Add

Friday 16 March 2012

Polis kenal pasti 15 suspek serang syarikat elektronik

GEORGETOWN, JUMAAT, 16 Mac, 2012: Polis yakin dapat menahan 15 lelaki yang dipercayai terbabit merusuh sebuah syarikat elektronik di kawasan perindustrian Bayan Lepas di sini petang semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata hasil siasatan awal, polis mengenal pasti identiti kesemua suspek terbabit dan yakin dapat menahan mereka tidak lama lagi.

Pada kejadian jam 2.15 petang semalam, 15 lelaki tempatan bersenjatakan parang dan tukul besi memecahkan sebahagian cermin hadapan bangunan syarikat dan merosakkan 16 kenderaan termasuk milik pengurus syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, semua pekerja dalam bangunan kilang itu selamat dan mereka tidak berani mengambil sebarang tindakan ekoran serangan mengejut secara berkumpulan oleh 15 lelaki terbabit. 

"Suspek datang dari luar Pulau Pinang dan kini polis sedang menjejaki mereka," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan di sini, hari ini. 

Lai berkata, hasil siasatan juga mendapati serangan berpunca akibat perselisihan faham berkaitan perniagaan dan dendam. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh, yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment