My Add

Tuesday 6 March 2012

Polis percaya sistem brek punca kemalangan bas di Genting

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Mac, 2012: Polis percaya kemalangan bas persiaran yang membawa 24 pelancong rakyat India dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur semalam berpunca daripada kegagalan sistem brek bas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan awal polis mendapati bas yang dipandu hilang kawalan apabila sistem brek tidak berfungsi dengan baik.

"Kami melakukan siasatan awal bersama PUSPAKOM hari ini dan kami masih menyiasat punca sebenar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, dua pemandu bas masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan akan ditahan reman bagi membantu siasatan.

Dua pelancong rakyat India terbunuh manakala 20 lagi penumpang cedera apabila bas yang mereka naiki terbalik di bahu jalan di Kilometer 4.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini ketika dalam perjalanan ke ibu negara dari Genting Highlands.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr Mohd Suhaimi Abd Majid, berkata sembilan mangsa kemalangan masih dirawat di Hospital dengan empat berada dalam keadaan kritikal manakala lima lagi stabil.

Jurucakap HKL pula berkata, dua rakyat India yang dirawat di HKL dibenar keluar dari hospital dan diurus oleh pegawai pejabat Pesuruhjaya Tinggi republik itu semalam.

"Dua mangsa yang cedera itu ialah Rajeev, 27, dan Sharma Kamlesh 23. Setakat ini, 11 lagi masih dirawat dan berada dalam keadaan stabil," kata jurucakap itu.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment