My Add

Tuesday 13 March 2012

Polis Pulau Pinang bongkar makmal dadah proses pil yaba

GEORGETOWN, SELASA, 13 Mac, 2912: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis pil yaba atau pil kuda selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Air Itam, di sini, semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Superintendan S Batumalai, berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 6 petang berdasarkan siasatan dan intipan sepasukan pegawai dan anggota polis bahagian narkotik.

"Ketika serbuan di rumah berkenaan, terdapat tiga lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 54 tahun dan dipercayai mereka adalah ahli sindiket pengedaran dadah jenis pil yaba," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan ke atas rumah berkenaan mendapati salah satu bilik dijadikan sebuah makmal memproses dadah jenil pil yaba. 

"Hasil pemeriksaan, kita menemui sebanyak 1,315 biji pil yaba yang turut dikenali sebagai pil kuda dan 649 gram serbuk dadah yaba bernilai RM76,300," katanya. 

Batumalai berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dan bahan kimia untuk memproses pil yaba. 

Katanya, siasatan awal mendapati empat rakan yang ditahan itu aktif menjalankan kegiatan memproses dadah di rumah berkenaan sejak empat bulan lalu. 

"Mereka memproses pil berkenaan di rumah itu sebelum menjual dengan harga antara RM15 dan RM17 sebiji kepada pelanggan di sekitar Pulau Pinang," katanya. 

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta Proton Wira bernilai RM20,000 dalam serbuan berkenaan dan operasi mengesan anggota lain sindiket dadah terbabit sedang giat dijalankan. 

“Keempat-empat suspek ditahan reman sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment