My Add

Monday 19 March 2012

Polis selesai siasat kes pelumba basikal maut

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Mac, 2012: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes langgar lari membabitkan pelumba dari Kelab Basikal Le Tua yang maut dirempuh kereta berhampiran Taman Melawati, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata siasatan kes itu selesai selepas seorang lelaki berusia 20 tahun tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 11 pagi semalam.

"Kita telah merakam keterangan suspek untuk melengkapkan siasatan kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amiruddin berkata lelaki warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 4 petang hari yang sama.

Polis akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, katanya.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, Rafizi Hamdan, 37, mati di tempat kejadian selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta dipercayai jenis Proton Saga, ketika berbasikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 berhampiran Taman Melawati ke arah Gombak.

Kenderaan itu kemudian meninggalkan tempat kejadian, namun nombor pendaftaran kenderaan terbabit tercicir di situ akibat kemalangan berkenaan.
Allahyarham Rafizi yang bekerja di CIMB Bank di ibu kota, dilaporkan dalam perjalanan menyertai aktiviti berbasikal bersama anggota kelab berkenaan di kawasan Batu 12, Gombak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan membahaya sehingga menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata siasatan berhubung kes pecah rumah milik bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Johar Che Din di Taman Nirwana, Ampang, masih diteruskan dan polis masih berusaha mengesan suspek.

"Saya difahamkan dua mangsa yang cedera dalam kejadian itu sudah dibenarkan dari wad manakala seorang lagi masih dirawat," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu itu, tiga wanita yang merupakan adik-beradik kepada menantu perempuan Johar cedera apabila cuba melarikan diri daripada penjenayah yang memecah masuk rumah berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment