My Add

Tuesday 20 March 2012

Polis siasat kaitan mangsa culik dengan lima remaja Myanmar

SHAH ALAM, SELASA, 20 Mac, 2012: Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes culik seorang remaja perempuan yang berjaya dibebaskan oleh polis Thailand semalam termasuk mengenal pasti kaitan mangsa dengan lima remaja Myanmar yang turut diculik bersamanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa yang selamat tiba di tanah air semalam masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Polis akan menyiasat secara lengkap termasuk bila mangsa dibawa ke Thailand dan kaitan dengan lima remaja Myanmar yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini yang turut dijumpai bersama mangsa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan meminta kerjasama polis Thailand supaya menghantar pulang kesemua remaja Myanmar yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan terbabit memadangkan keluarga mereka menetap di negara ini dan juga pemegang status UNHCR.

Zahedi berkata, mangsa berusia 14 tahun, dilaporkan hilang pada 30 Januari lepas selepas ibunya Norazura Roski, 37, menghantar mangsa yang tinggal di Seksyen 8 di sini ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 untuk ke rumah kawannya.

Katanya, Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada 31 Januari selepas anak gadisnya itu tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menghubungi ibunya pada 12 Mac lepas dan memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan berjaya meloloskan diri dan diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah.

Ditanya kemungkinan mangsa terbabit dengan sindiket kutipan derma, Zahedi berkata pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat berhubung perkara itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment