My Add

Saturday 10 March 2012

PPAP bakal miliki bangunan perpustakaan baru RM45 juta

KUANTAN, DABTU, 10 Mac, 2012: Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) bakal memiliki bangunan baru membabitkan kos RM45 juta menggantikan bangunan lamanya di Jalan Gambut di sini yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2014.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, bangunan setinggi tiga tingkat itu dibina di atas tapak seluas 1.68 hektar di Kemunting di sini yang berkonsepkan mesra masyarakat dengan mengaplikasi teknologi hijau.

Katanya, bangunan perpustakaan itu kini dalam peringkat menentukan reka bentuk pembinaan di mana apabila siap nanti ia akan menyediakan semua bahan bacaan dalam bentuk digital sejajar dengan perkembangan semasa.

Menurutnya, keistimewaan bangunan yang berkeluasan 12,000 meter persegi ialah menempatkan ruangan khas koleksi Diraja Pahang.

"Ruang koleksi Diraja Pahang ini akan mempamerkan segala yang berkaitan dengan institusi diraja negeri ini termasuk alat kebesaran selain ruangan khas bagi mempamerkan buku atau dokumentasi yang ditulis anak jati negeri ini berkisarkan budaya, lokasi dan makanan di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Buku Pahang 2012 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kumpulan MPH Malaysia, Datuk Dr Abdullah Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi PPAP, Datuk Shahaniza Shamsuddin.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment