My Add

Monday 19 March 2012

Program Perkeso bantu pesakit buah pinggang

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Mac, 2012: Seramai 86 pesakit buah pinggang telah mengikuti program 'Return To Work' yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 2009 hingga Februari tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, program itu diperkenalkan untuk membantu pencarum Perkeso yang menghidap penyakit buah pinggang tetapi masih berupaya dan bermotivasi untuk kembali bekerja.

"Daripada jumlah tersebut, 37 kes telah kembali bekerja, lima kes masih dalam tempoh rehabilitasi dan rawatan, 29 kes dalam proses carian pekerjaan manakala 15 kes lagi menarik diri daripada program kerana masalah kesihatan," katanya ketika menjawab soalan M.Manogaran (DAP-Teluk Intan) di Dewan Rakyat di sini.

Manogaran ingin tahu tindakan kerajaan dalam memastikan pesakit buah pinggang diberi pekerjaan bagi mengurangkan masalah kewangan dan pengangguran dalam kalangan mereka.

Subramaniam berkata, 817 daripada 6,365 pesakit yang menerima bantuan rawatan dialisis daripada Perkeso terus bekerja dengan majikan masing-masing.

Pada masa sama, mereka mendapat rawatan di pusat-pusat dialisis sama ada dalam atau luar waktu kerja mahupun di rumah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment