My Add

Saturday 17 March 2012

PSC akan tingkatkan kesedaran awam mengenai Lynas: PM

IPOH, SABTU, 17 Mac, 2012;: Datuk Seri Najib Razak berkata penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi meneliti berhubung isu berkaitan kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang, adalah proses pembabitan bersama orang ramai bagi memastikan mereka memahami perkara itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu tidak akan membuat keputusan mengenai nasib projek itu.

"Ia perlu dilakukan melalui proses pembabitan dengan orang ramai dan bagi mereka (PSC) meneliti semua aspek projek itu terutama faktor keselamatan dan sebarang ancaman yang mungkin timbul kepada kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru empat tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa yang menelan kos RM9 juta, di sini.

Kabinet yang bermesyuarat semalam dilaporkan memberi lampu hijau kepada penubuhan jawatankuasa itu ketika tengah kebimbangan berhubung sebarang kemungkinan risiko ke atas keselamatan dan kesihatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, dilaporkan berkata jawatankuasa sembilan anggota itu yang terdiri daripada empat wakil dari Barisan Nasional, tiga daripada pembangkang dan seorang anggota bebas, akan diketuai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Mengulas lanjut, Najib berkata kerajaan perlu membabitkan orang ramai supaya sesuatu projek yang dibuat itu tidak menimbulkan penentangan atau kebimbangan mereka.

"Dalam isu Lynas, kita rasakan masih ada ruang yang perlu kita penuhi yakni proses 'engagement' dan dapat meyakinkan pihak yang masih curiga sama ada projek ini selamat atau tidak," katanya. 

Perdana Menteri berharap jawatankuasa itu dapat meningkatkan kesedaran mengenai projek tersebut supaya "kita boleh mencapai keselesaan daripada segi penerimaan yang lebih baik."

Di KUALA LUMPUR, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata jawatankuasa itu perlu mendapatkan pandangan pakar "daripada mendengar ahli politik dan aktivis".

Beliau berharap jawatankuasa itu akan mendapatkan kebenaran berhubung perkara itu dan menjelaskan mengenai kekeliruan berhubung projek itu.

Koh juga berkata, kilang nadir bumi itu tidak sepatutnya memulakan operasi sehingga PSC menyelesaikan tugas mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan Gerakan bagi menghadapi pilihan raya umum, beliau berkata parti itu sedang menilai calon berpotensi untuk diketengahkan.

Mengenai jawatan senatornya yang akan tamat tempoh pada 8 April, beliau berkata:

"Kita akan tunggu sehingga sampai ketika itu kerana ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Saya tidak fikir ia wajar bagi saya untuk memberi ulasan mengenainya." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment