My Add

Monday 12 March 2012

Puteri minta percepatkan bina hospital Bandar Baharu, Kedah

BANDAR BAHARU, ISNIN, 12 Mac, 2012: Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan digesa mempercepatkan projek pembinaan Hospital Daerah Bandar Baharu yang telah dipohon pelbagai pihak sejak bertahun lalu.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datin Norsabrina Mohd Noor berkata, gesaan paling akhir telah disuarakan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah tidak lama dulu.

“Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatannya ke daerah Bandar Baharu baru-baru ini mengumumkan sejumlah peruntukan akan dimasukkan dalam peruntukan Rancangan Malaysia ke-10 untuk pembinaan hospital tersebut,” katanya kepada pemberita selepas bersama 20 anggota jawatankuasa melawat pesakit dalam Program Puteri Prihatan di Pusat Kesihatan Serdang dekat sini.

Norsabrina berkata, sekumpulan besar pesakit yang mendapat rawatan di pusat kesihatan itu merungut berhubung jarak hospital apabila perlu mendapatkan rawatan bagi penyakit yang mereka hidapi selama ini.

"Hospital kerajaan di Kedah yang menyediakan rawatan doktor pakar paling dekat hanya di Kulim yang jaraknya lebih 35 kilometer dari Serdang dan sebagai alternatifnya mereka ke Hospital Parit Buntar.”

Beliau berkata, sudah sampai masanya Bandar Baharu mempunyai sebuah hospitalnya sendiri dan tidak perlu lagi hampir 60,000 penduduknya terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan dan perubatan di Perak atau di Kulim yang jaraknya agak jauh itu.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment