My Add

Saturday 10 March 2012

Rakyat diminta salur maklumat minyak masak kitar semula

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Mac, 2012: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu kementerian itu mengesan pihak yang menjual minyak masak kitar semula.

Beliau berkata, kementerian itu sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

"Setakat ini 22 buah kilang penghasilan minyak di seluruh negara dikenal pasti mempunyai stok minyak kitar semula tetapi mereka hanya menggunakannya untuk proses biodiesel serta penghasilan sabun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan “Love and Creative Cuisine Competition” anjuran Wanita MCA di sini.

Pada 6 Mac lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membongkar satu sindiket mengitar semula minyak masak yang sudah diguna sebelum dijual semula kepada orang ramai di pasaran tempatan.

Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit akan mengambil atau membeli minyak masak yang sudah digunakan dari restoran di sekitar Lembah Klang sebelum dicampur dengan minyak masak baharu.

Mengulas lanjut, Liow berkata, pengilang yang menjual semula minyak kitar semula akan didakwa di bawah Akta Makanan 1983 dan sabit kesalahan boleh dikenakan penalti RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.—BERNAMA

No comments:

Post a Comment