My Add

Thursday 15 March 2012

Salah tafsir punca kerja ukur tanah NCR dibantah

SIBU rabu, 14 Mac, 2012: Kejahilan sesetengah daripada pemilik tanah Dayak Iban berhubung kerja-kerja mengukur sempadan Tanah Hak Adat Peribumi (NCR) menjejaskan tugas Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Memburukkan lagi keadaan adalah hakikat bahawa terdapat kalangan anggota komuniti yang mengutarakan definisi atau interpretasi mereka sendiri mengenai faktor yang membentuk tanah NCR.

Menurut Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sibu, Peggy Ronin anak Edin, definisi mereka itu seringkali bertentangan dengan definisi rasmi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat mengenai kerja-kerja mengukur sempadan — satu inisiatif kerajaan persekutuan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) — di Rh Belie anak Tandang di Nanga Dijih, Selangau dekat sini hari ini.

"Definisi mereka ada kalanya, bersifat memilih dan tidak lengkap, oleh itu membangkitkan kemarahan dan bantahan pemilik tanah. Tanah NCR pada dasarnya diusahakan atau diduduki sebelum 1 Jan, 1958. Tanah ini turut merangkumi kawasan perkuburan bersama,” katanya.

Menurut beliau, matlamat utama kerja-kerja mengukur sempadan itu ialah untuk mengasingkan tanah NCR daripada tanah negeri dan jabatan itu menyasarkan untuk melaksanakan langkah itu meliputi tanah NCR di seluruh negeri yang dianggarkan seluas 1.5 juta hektar menjelang 2015.

Sehingga kini, kata beliau, jabatan itu telah mewartakan lebih 2,000 hektar tanah NCR.

Langkah seterusnya ialah untuk melaksanakan kerja-kerja mengukur lot individu bagi tujuan mengeluarkan hak milik tanah, kata beliau.

"Pemilik tanah Iban tidak seharusnya membiarkan peluang keemasan ini — kerana mereka akan diiktiraf sebagai pemilik rasmi — berlalu pergi hanya disebabkan percanggahan dakwaan atau perkelahian atau hasutan oleh pihak tertentu.

"Mereka tidak seharusnya mendengar pihak yang mempertikaikan definisi rasmi, sebaliknya mereka sendiri yang tersalah tafsir,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment