My Add

Thursday 22 March 2012

Sokongan Malaysia terhadap inisiatif PBB dihargai


SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan hari kedua ke Malaysia di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA, KHAMIS, 22 Mac, 201: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon memuji Malaysia kerana penglibatan negara ini dalam pelbagai misi pengaman serta komitmennya untuk menyokong pelbagai inisiatif badan dunia itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam pertemuan mereka di sini hari ini, Ki-Moon juga memuji pertumbuhan dan kemajuan yang sedang berlaku di Malaysia.

Bercakap pada sidang akhbar bersama selepas pertemuan di Pejabat Perdana Menteri di sini, beliau berkata, mereka juga membincangkan soal Pergerakan Kesederhanaan Global yang merupakan idea Malaysia.

Perdana Menteri berkata, mereka turut menyentuh mengenai perkembangan serantau dan beliau telah memberitahu Ki-Moon mengenai peranan Malaysia dalam menyokong proses perdamaian di Mindanao selain penglibatan Malaysia membantu kerajaan Thailand menyelesaikan isu di selatan negara itu.

Turut dibangkitkan dalam pertemuan itu ialah pergolakan di Palestin dan dalam soal ini, Najib berkata, Ki-Moon telah diberitahu isu itu amat rapat dengan rakyat Malaysia.

Sementara itu Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meraikan Ban Ki-Moon serta isteri Ban Soon-Taek pada majlis jamuan tengah hari di Seri Perdana di sini.

Majlis di kediaman rasmi Perdana Menteri itu diadakan sempena lawatan rasmi dua hari Ban ke Malaysia.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, kedua-dua Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot dan A Kohilan Pillay, Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Hannif serta pegawai kanan serta petugas PBB yang mengiringi Ban.

Pada majlis itu, ahli delegasi berkenaan dihiburkan dengan persembahan tujuh lagu oleh 17 pelajar Permata Seni Muzik berusia 8 hingga 14 tahun.

Ia adalah kunjungan sulung Ban ke Malaysia sejak menyandang jawatan itu pada 1 Januari 2007.

Beliau dipilih semula dengan sebulat oleh Perhimpunan Agung PPP, tahun lalu untuk mentadbir badan dunia itu sehingga 31 Disember 2016. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment