My Add

Friday 23 March 2012

SPR bidas pembangkang sengaja bangkit isu undi pos

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Mac, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membidas pembangkang yang sengaja membangkitkan isu berkaitan undi pos di kalangan petugas suruhanjaya itu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR sejak dari dahulu lagi menggalakkan petugasnya mengundi secara pos untuk memastikan perjalanan proses pengundian ketika pilihan raya tidak terganggu.

"Kalau mereka ini mengundi secara biasa, siapa yang akan menggantikan mereka yang nak koyakkan kertas undi, calit dakwat ini siapa yang nak buat. Sebab itu, di bawah peraturan pengundian pos 2003 SPR, mereka ini dibolehkan (mengundi secara pos).

“Saya hairan kenapa isu ini berbangkit sedangkan inilah amalan SPR selama ini dalam mana-mana pilihan raya dan kita membuat mengikut peraturan yang sedia ada,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Riduan Mohd Nor semalam bahawa SPR sepatutnya mengehadkan petugasnya sebagai pengundi pos agar tidak mengganggu sebarang keputusan di mana-mana peti undi.

Wan Ahmad berkata, tuduhan itu melulu kerana petugas SPR mengundi tertakluk di kawasan mana petugas berdaftar. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment